Thursday, January 31, 2008

INDUSTRI PERBANKAN ISLAM MENGHADAPI KEKURANGAN PAKAR

Di petik dari : http://bicarabisnes.wordpress.com/category/kewangan-islamislamic-finance/
31 Jan 2008

Industri perbankan Islam, yang sedang mengalami pertumbuhan yang pesat kini kemungkinan menghadapi kekurangan pakar. Perbankan Islam yang menumpukan kepada perniagaan tanpa riba dan amalan-amalan yang bertentangan dengan syari’a dijangka mengalami pertumbuhan dalam linkungan 15% hingga 20% setahun. Sektor ini juga diramal oleh syarikat perunding-cara McKinsey & Co akan mencapai nilai asset sebanyak AS$1 trilion menjelang tahun 2010.

Apa yang menjadi kekhuatiran ialah pertumbuhan ini tidak setanding dengan jumlah mereka yang dianggap pakar dalam bidang ini. Menurut Sheikh Nizam Yaqubi, seorang pakar syari’a yang ulung, walaupun lebih ramai tenaga pakar sedang dilatih sekarang ini, tetapi jumlah yang terlibat tidak dapat menampung keperluan ataupun permintaan sejagat.

Pada pendapat beliau, keperluan adalah dalam lingkungan sepuluh-kali ganda daripada tenaga pakar yang akan dihasilkan. Keadaan demikian boleh melambatkan proses pertumbuhan sektor Perbankan Islam ini. Sekarang ini terdapat lebih 300 institusi yang mengamalkan perbankan Islam dan beliau sendiri terlibat dalam beberapa institusi sekaligus.

Sebenarnya, tenaga pakar yang dimaksudkan oleh Sheikh Nizam ini merupakan mereka yang boleh dianggap sebagai para ilmuan yang betul-betul fasih dalam bidang syari’ah dan juga perbankan konvensyenal. Ia memakan masa sekurang-kurangnya sepuluh tahun untuk melatih dan melahirkan sesorang ilmuan. Jika diambil-kira pengalaman yang diperlukan bagi betul-betul mahami selok-belok industri ini, jangka-masa yang diperlukan boleh menjangkau 15 hingga 20 tahun.

Sekarang ini, dianggarkan hanya seramai 50 hingga 60 ilmuan sahaja yang layak untuk menasihati dan menjalankan tugas penyeliaan keatas institusi perbankan Islam seluruh dunia.

Apa yang merumitkan keadaan ini ialah tiada satu-satunya kelayakan sejagat yang boleh diterima dan dianggap sebagai kelayakan yang membolehkan seseorang itu digelar ilmuan dan layak melaksanakan tanggung-jawab tertentu.

Perkara-perkara lain yang boleh menghambat adalah dari segi pelbagai perbezaan pendapat dan pentafsiran yang perlu diambil-kira dalam memenuhi hukum-hukum syari’ah. Oleh kerana pemahaman dan perlaksanaan sistem perbankan memang lumrah menggunakan bahasa Inggeris yang teknikal, ini juga boleh menjadi suatu rintangan kepada sebahagian para ulamak yang kurang fasih dalam penguasaan bahasa Inggeris.

Dalam keadaan dimana hasil yang melimpah berikutan harga minyak yang tinggi, lebih banyak pusat kewangan seperti London, Tokyo dan Hong Kong mengambil kesempatan membangunkan sistem Perbankan Islam mereka sendiri. Sudah tentu keadaan sedemikian akan menambahkan lagi tekanan untuk melahirkan tenaga pakar.

No comments: