Saturday, April 26, 2008

Pengalaman Melayu Singapura Merentas Globalisasi – Mohd Raman Daud

Selaku Pengerusi Asas 50 Singapura, Saudara Mohd Raman Daud banyak terlibat dengan aktiviti budaya dan kebajikan masyarakat Melayu di Singapura. Beliau mengatakan bahawa masyarakat Melayu adalah kumpulan minoriti yang paling tercabar dengan gelombang globalisasi terutama pada aspek pekerjaan, fahaman, sosial dan pendidikan.

Pekerjaan – Para pekerja Singapura perlu bersaing secara terbuka tanpa dasar perlindungan pemerintah. Memandangkan purata orang Melayu paling rendah taraf pendidikan dan kemahirannya, peratusan pembuangan kerja di kalangan mereka adalah tinggi. Selain itu, sebahagian masyarakat Melayu berhadapan dengan diskriminasi pekerjaan seperti syarat bahasa Mandarin sebagai kelayakan. Namun, campurtangan pemimpin Melayu sedikit sebanyak mengurangkan bentuk diskriminasi ini.

Fahaman- Sejak berlakunya peristiwa serangan 11 September 2001, Singapura amat berjaga-jaga terhadap pengganas kerana hubungan baiknya dengan Amerika Syarikat. Justeru, para pemimpin Islam Singapura mengambil peranan bagi menjaga keharmonian dan kesucian Islam seperti mengeluarkan kenyataan yang mengutuk keganasan serta meluaskan dialog dan rumah terbuka di masjid. Para ulama dan asatizah telah bergabung mewujudkan Kumpulan Pemulihan Agama (2003) bagi membimbing Muslim Singapura yang terlibat dalam penyelewengan akidah dan sebagainya.

Sosial- Keterbukaan Singapura sebagai kota kosmopolitan dengan tarikan pusat peranginan bersepadu telah mengundang warga asing, pengaruh maya dan media antarabangsa kepada masyarakatnya. Nilai kekeluargaan timur mulai tercabar apabila budaya kuning seperti homoseksual, feminisme dan lain-lain meresapi anak-anak muda. Malah, kaum Melayu Singapura paling ramai terlibat dalam masalah sosial seperti penagihan dadah, penceraian, dan penzinaan. Namun, badan-badan agama Islam dibantu pertubuhan kebajikan Melayu tidak putus berusaha membasmi masalah ini.

Pendidikan- Pencapaian anak-anak Melayu Singapura telah boleh dibanggakan. Malah dalam ujian Sains dan Matematik sedunia, anak Melayu Singapura muncul antara yang terbaik. Kini, persaingan sengit masyarakat di negara maju memberi impak positif kepada anak-anak Melayu untuk berusaha dan berdikari malahan ramai di antara mereka melanjutkan pengajian di luar negara.

Menurut Saudara Raman lagi, walau bagaimanapun jatidiri orang Melayu masih utuh kerana penggunaan bahasa Melayu dan kegiatan budaya Melayu yang rancak serta pengamalan Islam yang utuh di Singapura.

No comments: